KOPERASI USM BERHAD TERSENARAI 100 TERBAIK MALAYSIA 2011
- Details
- Category: Latest
- Published on Wednesday, 20 July 2011 08:32
- Hits: 6954
PULAU PINANG, 19 Jul – Koperasi Universiti Sains Malaysia (USM) Berhad tersenarai di tempat ke-37 dalam Indeks 100 Koperasi Terbaik Malaysia seperti yang dikeluarkan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) baru-baru ini.Untuk maklumat lanjut boleh layari laman sesawang tersebut. http://www.skm.gov.my/c/document_library/get_file?uuid=402a12ff-af40-4652-a3d7-bfbcd763a60a&groupId=68551
Kejayaan tersebut sekaligus menunjukkan peningkatan prestasi cemerlang Koperasi USM Berhad setelah dua tahun sebelum ini gagal menempatkan diri dalam kelompok koperasi-koperasi terbaik di negara ini.
Pengerusi Lembaga Koperasi USM Berhad, Prof. Madya Mohamad Suhaimi Jaafar berkata, kejayaan tersebut dicapai dengan sokongan jitu semua pihak khususnya Naib Canselor USM, Prof Tan Sri Dato’ Dzulkifli Abdul Razak dan warga kampus.
Katanya, pihak koperasi sentiasa berusaha untuk meningkatkan prestasi dan menambah baik aspek pengurusan bagi memastikan Koperasi USM Berhad terus berkembang dan berdaya saing.
``Kita sentiasa memberi penekanan untuk menjalankan tadbir urus terbaik dalam aspek-aspek pengurusan termasuk kewangan, pelaburan, inovasi dan dari situ juga kita mahu pihak luar menilai usaha yang kita jalankan untuk penambahbaikan.
``Selain itu, pihak koperasi akan menumpukan kepada faktor sumber manusia kerana manusia adalah indikator utama dalam menentukan perkembangan sesebuah perniagaan selain dari aspek lain seperti aset, kewangan, logistik pelaburan dan sebagainya,’’ katanya.
Tambah beliau, kejayaan tersebut menjadi penyuntik semangat kepada pihak pengurusan Koperasi USM Berhad dan warga kampus untuk terus meningkatkan kejayaan dan mengharumkan nama universiti.
Sementara itu, memetik kenyataan dari laman sesawang SKM, sesebuah koperasi ditakrifkan sebagai koperasi terbaik di Malaysia apabila koperasi berkenaan mencapai tahap prestasi yang tinggi dalam beberapa aspek tertentu.
Antaranya adalah kewangan (perolehan, aset dan ekuiti), perniagaan, pengurusan dan pematuhan perundangan yang memuaskan mengikut piawaian (standard) yang ditetapkan oleh SKM dan diselaraskan dengan kriteria yang digunapakai oleh International Co-operative Alliance (ICA).
Penilaian bagi pemilihan koperasi terbaik dibuat dengan tiga langkah utama termasuk penetapan saiz koperasi, penentuan koperasi berjaya dan penentuan perolehan koperasi.